14 FEB : Dalam ketidaktentuan persekitaran global, ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat (S4 2025) melonjak kepada 6.3 peratus (%).
Angka itu tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan mengatasi anggaran awalan dibuat kerajaan.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan, permintaan domestik kekal kukuh dalam meneraju pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Momentum ini mendorong pertumbuhan KDNK tahun 2025 kepada 5.2% (2024: 5.1%) dan melangkaui unjuran rasmi Kerajaan antara 4% hingga 4.8%.
“Untuk dua tahun berturut-turut, Kerajaan MADANI berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal, mencatat 3.7% pada tahun 2025 (2024:4.1%) berbanding unjuran awal 3.8%,” menurut MoF.
Dlam pada itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan indikator makroekonomi yang kukuh turut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dengan pencapaian kadar pengangguran terendah (2.9%) dalam tempoh lebih sedekad serta kadar inflasi yang rendah pada tahun 2025 pada 1.4% (2024: 1.8%).
Menurut Anwar, penjimatan daripada reformasi fiskal dapat diperuntukkan semula kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), di samping komitmen berterusan kerajaan terhadap projek infrastruktur awam yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, semakin ketara bahawa penyampaian yang jelas bagi rangka kerja dasar, seperti yang digariskan di bawah Ekonomi MADANI, diikuti dengan pelaksanaan berterusan pembaharuan yang sukar telah mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
“Ini dicerminkan dalam pengukuhan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, peningkatan pelaburan langsung dan pencapaian paras tertinggi FTSE Bursa Malaysia KLCI dalam tempoh tujuh tahun.
“Walaupun Kerajaan MADANI mengiktiraf kemajuan yang dicapai setakat ini, kita tidak boleh leka bukan hanya ketika mendepani rintangan global dan ketegangan perdagangan yang semakin meruncing yang terus mempengaruhi kehidupan kita.
“Adalah penting untuk kita sentiasa kekal dalam landasan pembaharuan Ekonomi MADANI, sekali gus menjadikan 2026 sebagai tahun untuk memperteguh tekad kita untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tambah lebih tinggi, membasmi rasuah, meningkatkan kemaslahatan hidup rakyat dan menambah baik mudah cara dalam menjalankan perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, MoF menjangkakan ekonomi dijangka kekal pada trajektori yang stabil disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, penggunaan isi rumah yang kukuh dan momentum pelaburan yang berterusan bagi tahun ini.
Selain itu, aktiviti pelancongan yang lebih rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam akan mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna.
MoF berkata Belanjawan 2026 akan meletakkan asas kepada Rancangan Malaysia ke-13 2026-2030 di samping dasar utama lain bagi menggalakkan pengembangan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Pada masa yang sama katanya, Kerajaan MADANI akan terus berpegang teguh kepada disiplin fiskal dalam melindungi kemampanan jangka masa panjang tatkala menyokong momentum pertumbuhan.