23 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh terus menjawat jawatan itu sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), sekali gus membolehkan beliau berkhidmat dengan baki tempoh tujuh tahun lagi.
Senario itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri diluluskan Dewan Rakyat dan dikuatkuasakan kelak.
Menurutnya, selepas tamat tempoh 10 tahun, pemimpin itu tidak boleh lagi dilantik ke jawatan tersebut.
Kata Azalina, RUU itu memperuntukkan tahun perkhidmatan bagi mana-mana Perdana Menteri dan bukan ditentukan berdasar tempoh penggal Parlimen.
“Siapa mahu jadi Perdana Menteri, dia tak boleh lebih dari 10 tahun. Jadi yang mana kita buat dalam pindaan Perlembagaan ini, dia juga (ambil) kira kepada tahun-tahun dia sudah berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
“Maknanya juga, ia dikira ke belakang…jadi Perdana Menteri yang ada hari ni, kalau katakan PMX (Anwar), dia menang lagi PRU16, dia nak jadi Perdana Menteri sekali lagi, boleh. Tapi kalau dikira dari tahun, dia tinggal tujuh tahun saja, bukannya mahu bagi dia 10 tahun lagi, tidak.
“Mungkin Tan Sri Muhyiddin Yasin kalau jadi Perdana Menteri lagi sebab dia menang, mungkin dia tinggal lapan tahun. Kemudian, Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mungkin tinggal sembilan tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat mengenai RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri, hari ini.
Sesi itu dihadiri ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.
Dalam pada itu, Azalina berkata pindaan dalam RUU itu selaras janji manifesto PRU lalu.
“Perlembagaan boleh dipinda. Kerajaan seterusnya yang mempunyai majoriti dua pertiga boleh meminda undang-undang. Malah tempoh jawatan juga boleh diubah semula dan mereka boleh buat jika mahu Perdana Menteri pada hari ini kekal selama-lamanya.
“Jika kamu mempunyai undi sokongan dua pertiga atau lebih di Parlimen, kamu boleh melakukan apa sahaja terhadap Perlembagaan. Apa kita lakukan, kerajaan ini bersama rakan-rakan gabungan sedang membawa kepada rakyat apa yang kita janjikan dalam manifesto PRU ke-15 lalu.
“Dalam manifesto, ada parti mencadangkan dua penggal, ada parti yang mencadangkan sepuluh tahun. Jadi pada asasnya, kerajaan sedang melaksanakan apa yang sudah dijanjikan atau terkandung dalam manifesto. Tetapi, kerajaan seterusnya dengan majoriti baru, masih boleh mengubahnya. Itu sememangnya prerogatif mereka,” katanya.
Tengah hari tadi, Azalina membentangkan dua RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 1) 2026 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026, berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri.