5 MAC : Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada paras 2.75 peratus (%), umum Bank Negara Malaysia (BNM).
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari, hari ini.
Melalui satu kenyataan, BNM berkata berdasar kepada kekuatan ekonomi pada tahun lalu, pertumbuhan global dijangka terus disokong permintaan domestik berterusan, inflasi semakin sederhana, pelaburan teknologi mantap serta dasar fiskal dan monetari menggalakkan .
“Bagaimanapun, konflik terkini di Asia Barat meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global.
“Kesan terhadap ekonomi global akan bergantung kepada tempoh dan tahap ketegangan konflik itu,” menurut kenyataan itu.
BNM berkata berdasarkan perkembangan semasa, peningkatan risiko pertumbuhan lebih perlahan berikutan ketegangan geopolitik dan volatiliti yang tinggi dalam pasaran kewangan global.
Selain itu kata BNM, terdapat kebimbangan berterusan mengenai cukai import yang dan penilaian aset yang tinggi dalam pasaran kewangan.
“Potensi kenaikan pula termasuk perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh, impak tarif yang lebih sederhana terhadap aktiviti ekonomi, dan langkah dasar pro-pertumbuhan di ekonomi utama,” kata kenyataan itu lagi.