10 MAC : Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan cuti tambahan sehari pada 18 Mac untuk semua sekolah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka minggu hadapan.
Cuti tambahan itu menurut KPM bagi memberi ruang kepada guru, pelajar dan ibu bapa membuat persiapan sewajarnya bagi menyambut perayaan itu.
“Langkah ini juga selaras dengan komitmen KPM untuk sentiasa memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan warga pendidikan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengikut Kalendar Akademik Sesi 2026, sekolah dalam kumpulan A diperuntukkan satu hari cuti tambahan pada 19 Mac bagi negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Sementara bagi sekolah dalam kumpulan B diberi dua hari cuti tambahan pada 19 dan 20 Mac.
Ia melibatkan negeri Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Semalam, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan tarikh anak bulan Syawal akan dilihat pada petang 19 Mac di 29 lokasi di seluruh negara bagi menetapkan Hari Raya Puasa.