10 MAC : Donald Trump dilaporkan berkata perang di Asia Barat akan berakhir tidak lama lagi.
Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mendakwa mereka sudah menang melawan Iran namun belum sepenuhnya.
Katnaya, perang akan berterusan sehingga Iran ditewaskan sepenuhnya namun menjangkakan ia akan berakhir tidak lama lagi.
“Ia akan selesai dengan agak cepat. Kita sudah menang dalam banyak cara, tetapi kita belum menang secukupnya,” katanya kepada ahli perundangan parti Republikan.
Di Iran, susulan pelantikan pemimpin tertinggi baharu negara itu, Mojtaba Khamenei, kelompok haluan kanan berhimpun besar-besaran sebagai tanda kesetiaan sekali gus isyarat negara itu tidak bersedia untuk berundur dalam masa terdekat.
Keadaan itu menyebabkan pasaran berdepan turun naik mendadak, harga minyak melonjak dan saham menjunam sebelum kembali meningkat susulan kenyataan Trump serta laporan kemungkinan sekatan terhadap sektor tenaga Rusia dilonggarkan.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dilaporkan berkata bila perang itu akan berakhir hanya akan ditentukan mereka.
Media kerajaan melaporkan IRGC memberi amaran keras di mana Tehran tidak akan membenarkan walau seliter minyak dieksport keluar dari rantau Teluk sekiranya serangan AS-Israel diteruskan.