17 MAC : Kementerian Pendidikan (KPM) tidak membuat sebarang ketetapan untuk pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di seluruh negara, setakat ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sesi persekolahan tetap berjalan seperti biasa tanpa ada perubahan.
“Setakat ini tidak akan ada PdPR. Keutamaan kita adalah pembelajaran anak-anak.
“Keputusan-keputusan yang besar ini mesti diteliti dan dibawa ke perbincangan. Setakat ini kita sangat mengambil berat dalam soal pembelajaran anak-anak berdasarkan pengalaman kita yang lepas.
“Jadi setakat ini, PdPR tidak akan berlaku, sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa, malam tadi.
Fadhlina mengulas soal kebimbangan disuarakan ibu bapa dan orang awam terhadap kemungkinan pelaksanaan pdPR susulan kerajaan mempertimbangkan bekerja dari rumah (WFH) sebagai langkah berjimat.
Dalam pada itu, Fadhlina berharap kenyataannya itu dapat meredakan kebimbangan yang timbul.
“Jadi kegusaran masyarakat itu saya harap dengan penjelasan ini kita dapat tumpukan kembali memberi perhatian kepada pembelajaran anak-anak kita dan fokus kepada persiapan menyambut hari raya,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata meski kerajaan mengumumkan pelaksanaan WFH kelak, namun sesi persekolahan tidak akan terganggu.
“Kita akan ikut pedoman Kabinet tapi WFH dan PdPR itu berbeza. Jadi untuk setakat ini PdPR itu tiada keputusan apa-apa…berjalan seperti biasa. Seperti saya sebut, keutamaan kita adalah pembelajaran anak-anak.
“WFH itu akan diputuskan esok dan kita ikut pedoman mesyuarat jemaah menteri,” katanya.