16 APR : Mana-mana individu yang melanggar peraturan berkait permit haji akan didenda sehingga 100,000 riyal Arab Saudi.
Itu antara hukuman yang disenaraikan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi bagi musim haji tahun ini.
Selain itu, individu yang menunaikan haji tanpa permit atau pemegang visa lawatan yang cuba memasuki atau berada di Makkah dan kawasan tanah suci bermula 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijah 1447H berdepan denda sehingga 20,000 riyal.
Denda lebih berat sehingga 100,000 riyal juga akan dikenakan terhadap pihak memohon visa lawatan bagi individu yang melanggar peraturan haji.
Denda akan dikenakan mengikut jumlah individu yang terlibat.
Sesiapa yang cuba membawa masuk pemegang visa lawatan ke Makkah dan kawasan tanah suci serta individu yang memberi perlindungan atau bantuan seperti menyediakan penginapan juga berdepan hukuman sama.
Bagi individu menyusup masuk untuk menunaikan haji dalam kalangan penduduk asing atau yang tinggal melebihi tempoh sah akan dihantar pulang ke negara asal dan dilarang memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.
Kementerian juga akan memohon mahkamah untuk merampas kenderaan digunakan bagi membawa pemegang visa lawatan ke Makkah dan kawasan tanah suci, sekiranya kenderaan tersebut dimiliki individu yang terlibat atau bersubahat.