Kerajaan sasar pelaburan GLIC RM2 bilion
16 APR : Kerajaan menyasarkan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga RM2 bilion, selain menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu bagi memperkukuh agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu merupakan sebahagian usaha memperkukuh Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC) serta melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera berdaya saing.
“Kerajaan MADANI kekal beriltizam untuk mendukung dan menyemarak agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera sebagai wahana yang berdaya hasil dan berteraskan pencapaian yang membanggakan.
“Melalui pengukuhan BCIC, kita menetapkan sasaran yang lebih berani meningkatkan pelaburan GLIC sehingga RM2 bilion, menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu serta membimbing lahirnya jaguh Bumiputera yang berupaya mencapai nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.
“Ini bukan sekadar angka tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih mapan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Sesi Meja Bulat Bersama Usahawan Bumiputera, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pendekatan strategik kerajaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh termasuk memperkukuh perusahaan dan syarikat sedia ada yang berdaya tahan hingga membuka ruang kepada penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tinggi.
“Kejayaan jenama seperti SERAI dan GlocAI memperlihatkan bahawa apabila ekosistem yang tepat disediakan, usahawan Bumiputera mampu berdiri setara, malah unggul dalam landskap ekonomi moden.
“Dalam masa yang sama, akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan serta peluang komersial terus diperluas sebagaimana yang dinikmati oleh syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque yang menjadi bukti bahawa tata laksana yang inklusif mampu melahirkan legasi keusahawanan yang mampan,” katanya.
Mengulas soal sesi meja bulat itu, Anwar berkata ia bukan sekadar penyuguhan idea tetapi medan penting untuk melarai kekangan dan merungkai tantangan yang masih membelenggu usahawan Bumiputera.
Katanya, kerajaan mendengar, menilai dan akan terus memperhalusi pendekatan sedia ada agar setiap dasar yang digerakkan benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.
“Walhasil, dengan iltizam kolektif serta kepemimpinan yang berprinsip, kita yakin bahawa agenda keusahawanan Bumiputera akan terus berkembang, bukan sahaja sebagai tonggak ekonomi negara, tetapi sebagai manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan yang madani,” katanya.
