18 APR : Beberapa nama besar disahkan kembali diterima bersama UMNO di bawah payung Rumah Bangsa termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Keputusan itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuarat yang diadakan di Melaka, semalam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO menerima kembali tanpa syarat terhadap tiga bekas pemimpin itu bersama 6,252 lagi bekas pemimpin dan ahli di seluruh Malaysia.
“Menyokong dan mendukung penuh gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.
“Antara nama-nama pemohon yang telah diputuskan MKT termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat UMNO bahagian dan cawangan seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Hishammuddin digantung keahlian sejak 2023 atas faktor tidak sehaluan dengan pendirian kepimpinan UMNO serta dakwaan melanggar disiplin parti sementara Khairy dipecat pada 2023 kerana mengkritik UMNO secara terbuka selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala Syed Hamid meninggalkan UMNO secara sukarela pada 2018 susulan krisis keyakinan terhadap kepimpinan parti.
Dalam kenyataan sama, Asyraf Wajdi memaklumkan UMNO meminda peraturan berkait keahlian parti bagi membolehkan pendaftaran dibuat secara dalam talian.
Katanya, pindaan itu dibuat bagi memudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya dalam kalangan anak muda.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata MKT UMNO juga menyarankan agar negeri-negeri yang diterajui pimpinan UMNO khususnya Johor, Melaka, Perak dan Pahang agar memfokuskan bantuan-bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan dengan cabaran kos sara hidup.
Dalam perkembangan lain, beberapa program akan diadakan bersempena minggu Sambutan 80 Tahun UMNO dari 1 hingga 5 Mei depan di Pusat Dagangan Dunia.
Ini termasuk Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera, Karnival Keusahawanan dan Pendidikan juga Majlis Khas Ramah Mesra Pemuda dan Puteri UMNO bersama ahli-ahli baharu.
Asyraf Wajdi berkata MKT turut memberikan kebenaran kepada sayap-sayap parti untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid atau gabungan antara kehadiran secara fizikal juga secara atas talian khususnya pada tahun yang tiada pemilihan parti.