Penglibatan swasta, usahawan penting jayakan agenda Bumiputera
18 APR : Penglibatan sektor swasta dan kelompok usahawan amat penting bagi menjayakan agenda pemerkasaan Bumiputera, agar pertumbuhan dicapai lebih bermakna, mampan dan dirasai secara meluas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama institusi pelaburan Bumiputera petang semalam bagi meneliti langkah lebih tuntas dan berkesan untuk menjayakan agenda berkenaan.
“Ini sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menggariskan ikhtiar untuk menaikkan siling potensi pertumbuhan negara, menaikkan lantai darjat hidup rakyat serta memacu pembaharuan khususnya dari segi tatakelola yang baik.
“Justeru, penglibatan sektor swasta dan para usahawan dalam menjayakan agenda ini amat penting agar pertumbuhan yang dicapai lebih bermakna, mampan dan dirasai secara meluas,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata tumpuan perlu diberikan kepada pelaksanaan dasar yang benar-benar memberi impak kepada rakyat.
“Tumpuan kita mesti menjurus kepada pelaksanaan yang nyata, bukan sekadar wacana tanpa usaha menterjemahkannya melalui pelbagai kebijakan yang sesuai dengan tuntutan zaman dan keperluan rakyat.
“Walhasil, Pejabat Perdana Menteri bersama Kementerian Kewangan akan menyusul dengan setiap institusi berkaitan bagi menetapkan inisiatif utama serta laporan kemajuan setiap suku tahun,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan menyegerakan pelaburan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera serta memperkukuh sokongan kepada syarikat berpotensi tinggi supaya dapat berkembang dengan lebih pantas dan lebih berdaya saing.
“Dalam masa yang sama, kita mahu melihat lebih banyak syarikat Bumiputera melangkah ke hadapan termasuk mencapai sasaran 10 IPO baharu di Bursa Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2027,” katanya.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan kepentingan pembangunan modal insan dalam dunia yang semakin pantas bergerak.
Justeru itu katanya, kerajaan menyarankan agar latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bergaji tinggi terus diperluas, meningkatkan peluang pekerjaan serta memperhebat laluan mobiliti sosial khususnya bagi golongan miskin dan anak muda.
Kata Anwar, agenda Bumiputera tidak boleh terhenti pada seminar dan pengumuman. Ia mesti dijelmakan melalui hasil, peluang dan pencapaian yang dinikmati rakyat terbanyak.