18 APR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina.
Menurut satu kenyataan MCMC berkata pihak berkuasa sudah mengesahkan diesel tersebut milik syarikat perdagangan Vitol dan bukannya milik Petronas atau Kerajaan Malaysia.
“Individu tersebut dipanggil untuk memberi keterangan pada hari Jumaat.
“MCMC turut menyita peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut,” menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Tegas MCMC, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital untuk menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam,” menurut MCMC lagi.