23 APR : Iran menerima hasil kutipan pertama tol daripada kapal yang melalui Selat Hormuz ketika konflik di Asia Barat masih belum menemui noktah.
Menurut Timbalan Speaker Parlimen, Hamidreza Haji Babaei, hasil yang dimasukkan ke akaun bank pusat itu direkodkan secara rasmi.
“Hasil pertama daripada yuran transit di Selat Hormuz telah didepositkan ke dalam akaun bank pusat,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Agensi Berita Tasnim.
Namun tidak didedahkan butiran terperinci mengenai jumlah kapal membuat pembayaran itu.
Terdahulu, Iran dilaporkan sudah mula mengutip bayaran daripada kapal-kapal yang melalui laluan penting bagi bekalan tenaga global itu.
Difahamkan, jumlah yang dikenakan terhadap kapal-kapal itu berbeza mengikut jenis dan jumlah kargo serta tahap risiko yang dibawa.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan pembayaran tol itu perlu dibuat dalam bentuk mata wang kripto atau yuan China.
Aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz terganggu sejak perang antara AS-Israel dan Iran bermula pada 28 Februari lalu.
Keadaan itu sekali gus menjejaskan pasaran tenaga global hingga menyebabkan kenaikan harga bahan api.