KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim semasa tinjauan insiden kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah, Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyediakan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada warganegara Malaysia yang terjejas akibat kebakaran tersebut.
Dalam melaksanakan inisiatif ini, KDN akan memastikan setiap permohonan penggantian disemak dan disahkan secara teliti berdasarkan rekod sedia ada dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang komprehensif dan berintegriti tinggi, bagi memastikan hanya individu yang layak diberikan kemudahan ini.
Sehubungan itu, penggantian dokumen penting yang musnah atau hilang melibatkan:
a) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN):
i. Sijil Kelahiran
ii. MyKid
iii. MyKad
iv. Sijil Kematian
v. Sijil Perkahwinan Bukan Islam
b) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM):
i. Penggantian pasport
3. Bagi memastikan urusan mangsa dipermudahkan, JPN akan menggerakkan inisiatif MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) yang menyediakan perkhidmatan bergerak di kawasan insiden, bagi membolehkan mangsa mendapatkan penggantian dokumen seperti Sijil Kelahiran, MyKid dan MyKad secara terus, cepat dan tanpa perlu hadir ke pejabat JPN.
Pada masa yang sama, JIM turut menyediakan penggantian pasport secara percuma, tertakluk kepada syarat kelayakan yang berkuat kuasa. Keutamaan perkhidmatan akan diberikan bagi mempercepatkan proses permohonan dengan keutamaan diberikan kepada mangsa yang terjejas bagi mempercepatkan proses permohonan.
Kerajaan MADANI komited memastikan warganegara yang terjejas tidak berdepan kesukaran berpanjangan akibat kehilangan dokumen pengenalan diri. Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan memastikan bantuan disampaikan secara cepat, mudah dan berperikemanusiaan, selaras dengan nilai ihsan dan keprihatinan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi KDN di https://www.moha.gov.my/, JPN di https://www.jpn.gov.my/, atau JIM di https://www.imi.gov.my/.
KEMENTERIAN DALAM NEGERI