RPM dirangka selari perkembangan semasa, AI
25 APR : Sistem pendidikan negara di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 akan dirangka selari dengan perkembangan semasa khususnya melibatkan teknologi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia membuka ruang untuk Kementerian Pendidikan (KPM) memperbaiki sistem pendidikan negara dengan melihat masa depan.
Menurutnya, pembaharuan itu perlu dilaksanakan namun pada masa sama tidak menafikan keberkesanan sistem lalu.
“Keadaan ketika itu dengan sekarang jauh berbeza…semasa saya jadi Menteri Pendidikan, pengajaran komputer baru dibicara, belum diperkenal lagi dengan lebih meluas.
“Sekarang bicara teknologi digital, AI (Kecerdasan Buatan), pusat data…(dahulu) itu tidak masuk dalam korpus bahasa… jadi, sebab itu mesti cepat menangkap perubahan, itu strategi pendidikan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena program Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan 6 di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata masih ada ruang untuk sistem pendidikan negara diperbaiki.
“Pimpinan, pensyarah dan pelajar juga harus terima bahawa setakat yang kita capai ini belum cukup.
“Jangan kita banding dengan negara miskin di Afrika, tentu kita menang…saya merasakan ada ruang untuk kita perbaiki,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA