PRN: Ikut peraturan, jaga etika sepanjang kempen
12 JUN : Semua pihak diingatkan agar sentiasa menghormati peraturan dan etika sepanjang berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata demikian susulan pengumuman terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkait tarikh dua PRN itu.
“Sekarang apabila dah mula kempen, saya harap dapat dijaga dan SPR menjalankan tanggungjawab dengan baik serta bebas.
“Tadi sempat juga saya berbicara dengan kawan-kawan selepas mesyuarat jemaah menteri supaya menjaga peraturan dan menghormati etika kempen,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, hari ini.
Pagi tadi, SPR mengumumkan PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai depan dengan hari penamaan calon pada 27 Jun ini.
Sementara PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos dengan hari penamaan calon pada 18 Julai depan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN diikuti Negeri Sembilan pada 5 Jun.
Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA