25 APR : Kerajaan mengumumkan pelantikan bekas hakim, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pelantikan itu diumum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Menurutnya, pelantikan itu berkuat kuasa 13 Mei depan.
Beliau berkata cadangan pelantikan yang dipersembah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, semalam itu mendapat perkenan baginda.
“Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], baginda telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya, SPRM berkuatkuasa pada 13 Mei 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata kerajaan berkeyakinan dengan pengalaman luas serta integriti yang tinggi, beliau akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus.
Pada masa sama, Abdul Halim yang juga bekas hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam itu katanya mampu meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara.
Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya itu susulan kontrak penyandangnya, Tan Sri Azam Baki bakal tamat bulan depan.
Azam Baki memegang jawatan itu sejak 9 Mac 2020 sebelum kontraknya disambung sebanyak tiga kali sehingga yang terakhir tamat pada 12 Mei ini.