26 OKT : Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) gagal membantu menempatkan pelarian Rohingya ke negara ketiga.
Keadaan itu menyebabkan kerajaan Malaysia mengkaji semula keperluan kehadiran agensi itu di negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UNHCR tidak lagi memainkan peranan berkesan seperti ketika mengendalikan isu pelarian Vietnam antara 1978 hingga 1990.
Beliau berkata, hanya kira-kira 5,000 pelarian berjaya ditempatkan semula ke negara ketiga dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, namun mereka bukan dalam kalangan pelarian Rohingya.
“Majoriti pelarian Rohingya adalah pemegang kad UNHCR, kita minta UNHCR menghantar mereka ke negara ketiga, tetapi UNHCR gagal.
“Oleh sebab itu, kita mengkaji semula kehadiran UNHCR di negara ini. Sepatutnya UNHCR memainkan peranan mereka seperti yang mereka buat semasa pelarian Vietnam pada tahun 70-an dahulu, tetapi sekarang tidak ada.
“Kadar kejayaan mereka hanya 5,000 lebih selama dua tiga tahun ini, itupun bukan pelarian Rohingya tetapi etnik lain daripada Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad berkata, usaha menempatkan semula pelarian turut berdepan cabaran apabila beberapa negara yang sebelum ini menerima golongan berkenaan termasuk Australia, Jerman dan Amerika Syarikat (AS), kini mengetatkan dasar kemasukan mereka.
Katanya, keadaan itu menyukarkan usaha mencari negara ketiga untuk menerima pelarian dan berisiko menyebabkan Malaysia terus menanggung beban berkenaan.
Justeru itu, Mohamad berkata, bagi mengelakkan negara ini terus menanggung beban berlarutan, rundingan dan libat urus dengan kerajaan Myanmar perlu dilaksanakan bagi mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.
“Ini masalahnya, kita akan terbeban. Kita perlu adakan libat urus bersama dengan Kerajaan Myanmar. Kalau tidak mahu buat apa? Mereka lagi suka kalau kita tidak bertemu mereka.
“Mereka lagi suka jika dunia memulaukan mereka, asalkan negara-negara sahabat bersama-sama dan memberikan perlindungan. Ini yang sedang berlaku,” katanya.