25 APR : Siasatan berkait pemilikan saham didakwa milik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disahkan sudah selesai.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan muktamad kes itu kini di peringkat tertinggi kerajaan yang akan diuruskan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Setakat pemahaman saya, jika yang dirujuk ialah siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham, perkara itu telah pun selesai.
“Proses seterusnya kini diuruskan oleh Ketua Setiausaha Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengiktirafan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sebagai Pusat Transformasi Digital Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa di NADI Kubang Semang, Pulau Pinang, hari ini.
Menurutnya, dapatan jawatankuasa siasatan khas berkait kes itu sudah dibentangkan kepada Kabinet sebelum ini.
“Keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan apa yang telah dibentangkan kepada jemaah menteri,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini dalam laporannya mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham Velocity dengan nilai pegangan dianggarkan bernilai hampir RM800,000.
Namun Azam menegaskan beliau sudah tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
Shamsul Azri sebelum ini memaklumkan Azam sudah dipanggil 19 Februari lalu untuk memberi keterangan.
Sementara itu, mengulas soal pengiktirafan terhadap NADI itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata ia merupakan satu pengiktirafan besar di peringkat dunia.
“Malaysia makin maju dalam pendigitalan. NADI di bawah MCMC kini rasmi diiktiraf sebagai ahli Pusat Transformasi Digital (DTC) di bawah rangkaian Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
“NADI menjadi pusat ke-16 dunia dalam rangkaian global ITU-DTC dan ini bukti komitmen Malaysia dalam memperluas keterangkuman digital, khususnya untuk komuniti luar bandar.
“Lebih ramai rakyat celik digital, lebih banyak peluang ekonomi. Syabas NADI dan MCMC,” katanya.
