5 MEI : UMNO kekal menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dan tidak pernah memutuskan untuk menjadi pembangkang di negeri berkenaan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pandangan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di negeri itu yang sedia menjadi pembangkang hanyalah sekadar kenyataan.
“Kita tak ada niat untuk jadi pembangkang, itu hanya sebuah kenyataan saja. Tetapi UMNO di peringkat pusat sudah memutuskan bahawa ADUN di Negeri Sembilan tetap menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Kami Gen MARA, hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan kesemua 14 ADUN BN di Negeri Sembilan bersetuju menyokong Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan terus terpelihara.
Pada 27 April lalu, 14 ADUN BN Negeri Sembilan berkenaan sebulat suara menarik sokongan daripada kerajaan negeri itu selepas hilang kepercayaan terhadap menteri besarnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata isu untuk mencalonkan ADUN BN sebagai menteri besar di negeri itu belum dibincangkan setakat ini.
Selain itu katanya, satu kenyataan akan dikeluarkan berkait mesyuarat perundingan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO-BN yang dijadual berlangsung, malam ini.
“Nantilah kita keluarkan kenyataan. Yang akan keluarkan kenyataan itu biarlah Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung PH sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kesemua parti dalam gabungan itu sudah bersedia bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU).
Kata Ahmad Zahid, pada akhirnya rakyat perlu memilih gabungan parti politik terbaik untuk memimpin negara.