8 MEI : Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang jadualkan beroperasi sepenuhnya pada 31 Disember ini bakal menjadi pintu masuk darat paling sibuk di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata RTS Link berupaya membawa 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala dalam hanya enam minit.
“RTS Link merupakan satu projek strategik yang akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura. Ia nanti akan memiliki rangkaian rel sepanjang 4 kilometer. Apabila beroperasi, sistem ini direka untuk keupayaan membawa 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala dengan tempoh perjalanan yang kita rangka iaitu hanya enam minit sahaja.
“Apa maksudnya? RTS Link tentunya akan menjadi pintu masuk darat paling sibuk di negara kita. Kita ada lebih 120 pintu masuk negara melibatkan darat, laut dan udara, tetapi apabila RTS Link ini beroperasi nanti, tentunya ia akan menjadi pintu masuk darat paling sibuk di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Bukit Chagar, hari ini.
Susulan itu, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menekankan kepentingan dalam aspek keselmatan.
“Kerana itu aspek keselamatan, kawalan imigresen, pengesanan ancaman dan kecekapan operasi menjadi keutamaan KDN. Bermakna keempat-empat elemen ini mesti berada pada tahap tertinggi bermula hari pertama operasinya nanti.
“Kita juga kena pastikan aspek keselamatan, teknologi, komunikasi dan sumber manusia benar-benar bersedia,” katanya.
Menurutnya, setakat bulan lalu, projek tersebut dianggap siap sekitar 90 peratus dan bakal memiliki 18 unit mesin pengimbas bagasi, 22 unit mesin pengimbas badan dan 10 unit mesin pengimbas walkthrough berteknologi millimeter wave yang sedang dipasang serta diuji.
“Tujuannya untuk meningkatkan keupayaan pengesanan sebarang bentuk potensi ancaman di pintu masuk negara.
“Mesin pengimbas kita nanti akan dilengkapi dengan sistem Auto Threat Detection yang membolehkan proses pemeriksaan dilaksanakan secara pantas, tepat dan tersasar tanpa menjejaskan kelancaran aliran penumpang. Kita gunakan teknologi, tetapi aliran penumpang tak boleh terganggu.
“Jadi teknologi yang akan kita guna pakai menjanjikan kelancaran aliran penumpang tetapi tidak berkompromi dari segi tanggungjawab KDN untuk memeriksa aspek keselamatan,” katanya.
Selain itu, beliau juga memaklumkan sebanyak 220 unit e-gate ditempatkan di kawasan pintu masuk ke Johor itu dan dalam masa terdekat proses integrasi menggunakan sistem MyNIISe akan dilaksanakan.
