20 MEI : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel memintas dan menahan ahli serta anak kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa, di luar pantai Cyprus pada 18 Mei ketika dalam misi kemanusiaan menuju ke Gaza.
Wisma Putra, hari ini dalam satu kenyataan menegaskan tindakan rejim Zionis Israel tersebut merupakan suatu pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa.
Ini termasuk undang-undang maritim, undang-undang kemanusiaan dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, tegas kementerian itu.
“Sehubungan itu, Malaysia menuntut pembebasan tanpa syarat serta jaminan keselamatan ke atas semua ahli dan anak kapal yang ditahan termasuk 25 warganegara Malaysia serta pelepasan kapal-kapal mereka.
“Malaysia turut mendesak agar jaminan keselamatan diberikan kepada ahli dan anak kapal yang masih berada di atas kapal-kapal berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Wisma Putra menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas bagi memastikan rejim Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan serta serangan yang menyasarkan misi-misi kemanusiaan ini.
“Malaysia turut menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan menyokong segala usaha dalam mencapai keamanan yang adil, komprehensif dan berkekalan.
“Ini termasuklah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berteraskan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara yang sah,” menurut kementerian itu lagi.
