KENYATAAN MEDIA
UMNO SELANGOR
1. UMNO Negeri Selangor menjunjung kasih atas kenyataan rasmi dan seruan D.Y.M.M. Sultan Selangor yang menyeru seluruh rakyat agar menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara serta memelihara adab dan penghormatan terhadap Institusi Raja.
2. Seruan Baginda bukan sahaja menjadi peringatan kepada individu tertentu, malah wajar dijadikan pedoman oleh semua pihak tanpa mengira latar politik demi memastikan keharmonian dan perpaduan negeri terus dipelihara.
3. Rukun Negara lahir daripada sejarah pahit negara dan dibentuk sebagai asas penyatuan rakyat Malaysia. Justeru, prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya tidak boleh dipandang ringan atau dijadikan bahan pertikaian politik sempit.
4. UMNO Selangor percaya bahawa perbezaan pandangan dalam demokrasi mesti disampaikan dengan tertib, beradab dan menghormati asas kenegaraan yang menjadi tunjang kestabilan negara, termasuk kedaulatan Institusi Raja.
5. Sehubungan itu, UMNO Selangor menyeru seluruh rakyat khususnya generasi muda untuk bersama-sama menghayati semangat Rukun Negara, memelihara kesopanan dan memperkukuhkan perpaduan demi masa depan negeri dan negara.
”DAULAT TUANKU”
DATUK DR MOHD ZAIDI MD ZAIN
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor