20 MEI : Tiada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan untuk Parlimen Pandan dan Setiawangsa yang dikosongkan penyandangnya, baru-baru ini.
Perkara itu disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melalui satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun pihaknya menerima pemakluman daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melalui surat bertarikh 20 Mei 2026 berhubung dengan status kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas diisytiharkan kosong di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
“Selaras dengan itu, tiada PRK Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa akan dijalankan,” menurutnya dalam kenyataan itu.
Pada 17 Mei lalu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pengosongan kerusi masing-masing berkuat kuasa 18 Mei dan keluar PKR.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan Nik Nazmi merupakan bekas Naib Presiden PKR mengumumkan hala tuju politik dengan mengambil alih BERSAMA yang ditubuhkan pada 2016.
Kemudian, kedua-duanya mengemukakan notis kepada Johari berhubung peletakan jawatan mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat.