20 MEI : Polis membuka kertas siasatan terhadap Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua berkait kenyataan yang dimuat naik di Facebook menyentuh soal kuasa raja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
Setakat ini katanya, terdapat 28 laporan polis dibuat terhadap Tony Pua di seluruh negara berkait hantaran itu.
Selain itu kata Kumar, bekas Ahli Parlimen Damansara itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita telah memulakan siasatan selepas menerima 28 laporan polis dari seluruh negara,” katanya.
Menurut Kumar, Tony Pua dan semua pihak yang berkaitan akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.
“Sudah tentu, kita akan memanggil semua pihak yang terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu kenyataan media menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu hadir ke Dataran Selangor seminggu sekali bagi memahami makna Rukun Negara.
Baginda menitahkan perkara itu agar kedua-dua individu tersebut tahu untuk menghormati kedaulatan institusi Raja serta menjaga adab.
Beberapa jam selepas kenyataan Sultan Sharafuddin itu, Tony Pua dalam hantaran di Facebook yang ditulis dalam bahasa Inggeris berkata Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem yang membolehkan raja mengeluarkan titah mengikat serta menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Tony Pua berkata beliau akan setia kepada Raja dan Negara serta mematuhi Kedaulatan Undang-Undang berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan bukan berdasarkan titah semata-mata.
Namun kenyataan pemimpin DAP itu mengundang kritikan termasuk daripada pemimpin kerajaan.