KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa kesemua 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah dibebaskan pada 21 Mei 2026 (Khamis).
Kesemua rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat dan kini berada di Istanbul, Türkiye bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijadualkan pulang ke Malaysia dengan ketibaan dijangka pada 24 Mei 2026 (Ahad).
Kerajaan Malaysia turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Türkiye atas segala bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang proses pembebasan serta kepulangan mereka dengan selamat.
Kementerian memuji komitmen teguh yang ditunjukkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta pasukan Sumud Nusantara. Walaupun flotila kemanusiaan tersebut dihalang daripada tiba di Gaza, misi ini telah berjaya meningkatkan kecaman antarabangsa terhadap sekatan haram rejim Zionis Israel ke atas Gaza, Palestin.
Malaysia kekal komited untuk meneruskan usaha diplomatik bersama rakan antarabangsa dalam menjunjung prinsip kemanusiaan serta memperkukuh solidariti global ke arah penubuhan sebuah Negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.
KEMENTERIAN LUAR NEGERI