Di bawah naungan Sultan Ibrahim negara terus melangkah penuh tertib
1 JUN : Kerajaan MADANI kekal teguh dan kukuh dengan kesetiaan serta perpaduan rakyat yang dipupuk dengan semangat juga tekad untuk membangunkan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim negara terus melangkah dengan penuh tertib dan keyakinan berpaksikan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Kerajaan MADANI tertegak dan kukuh dengan kesetiaan dan perpaduan rakyat yang rata-rata dipupuk semangat serta tekad untuk membina negara meski berdepan badai akibat Perang Teluk dan tempiasan kegawatan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas menghadiri Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.
Beliau turut menegaskan inisiatif bagi menjamin pengagihan yang adil kepada semua negeri dan wilayah terutama golongan miskin dan terpinggir akan terus diperhebat dengan panduan dan naungan Yang di-Pertuan Agong.
Pada masa sama, Anwar mewakili Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat menjunjung kasih atas pemerintahan baginda yang disifatkan bijaksana serta sentiasa menjadi lambang penyatuan dan keluhuran negara.
“Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku,” ucapnya.