1 JUN : Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan berkuat kuasa, hari ini, umum Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebentar tadi.
Pengumuman pembubaran DUN ke-15 itu dibuat dengan kehadiran barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).
Menurut Onn Hafiz yang juga ADUN Machap, pembubaran itu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menghadap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada hari ini, 1 Jun 2026.
“Sehubungan itu, atas titah perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, watikah pembubaran Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim Kelima Belas telah diperkenankan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Menurutnya, pembubaran itu selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tertakluk kepada penetapan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
“Keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat Bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses demokrasi itu dengan penuh adab, tertib serta berhemah.
“Semoga Allah SWT memelihara negeri Johor, melindungi rakyatnya serta terus mengurniakan kestabilan, kemakmuran dan keberkatan kepada negeri ini,” katanya.
Terdahulu, BN Johor memutuskan untuk bertanding solo di kesemua kerusi pada PRN ke-16 kali ini.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung Mac 2022, BN menang 40 kerusi dan membentuk kerajaan negeri sementara Pakatan Harapan (PH) menang 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) menang 3 kerusi serta parti Muda 1 kerusi.