4 JUN : Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sah dibubarkan secara rasmi bermula esok.
Perkara itu disahkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun melalui satu sidang media khas, lewat malam ini.
Menurutnya, pembubaran itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Alhamdulillah malam ini jam 8.30 malam saya telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tuanku telah perkenan untuk membubarkan DUN bermula pada esok, Jumaat, 5 Jun 2026,” umumnya.
Namun ketika ditanya sama ada keputusan itu mendapat perkenan Undang Yang Empat, beliau menegaskan pembubaran itu dibuat mengikut peraturan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
“Saya telah mengikut peraturan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Itu sahaja. Saya mendapat perkenan dan mematuhi undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Itu sahaja,” katanya.
Pada sidang media sama, Aminuddin berkata notis pemakluman tentang pembubaran DUN itu akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk tindakan lanjut.
“Selepas ini pilihan raya. Kita akan hantar notis kepada SPR dan serahkan untuk SPR tentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi,” katanya lagi.
Beliau turut mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Tuanku Mukhriz berkait pembubaran tersebut.
“Ya, itu (Anwar menghadap) Tuanku nak mengesahkan bahawa memang ada persetujuan daripada Perdana Menteri,” katanya.
Beliau turut menolak pembubaran DUN itu dibuat secara mengejut.
“Tak adalah mengejut. Kamu sudah tahu dari hari Rabu dah. Hari ini saya sahkan. Cuma ambil masa untuk tulis surat,” katanya.