PM arah selesai segera isu iktiraf kelayakan farmasi Universiti Alexandria
5 JUN : Isu pengiktirafan kelayakan program Doktor Farmasi (PharmD) dari Universiti Alexandria, Mesir perlu diselesaikan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak terhadap aduan yang diterima daripada pelajar bidang berkenaan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO)dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya mengambil maklum aduan yang dikemukakan pelajar bidang farmasi di universiti tersebut berhubung pengiktirafan kelayakan bagi tujuan pendaftaran dan amalan profesional di Malaysia.
“Perdana Menteri telah mengarahkan KPT dan KKM supaya memberikan perhatian serta memuktamadkan penyelesaian terhadap isu ini dengan kadar segera demi kepentingan pelajar yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, PMO berkata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak mempunyai halangan terhadap pengiktirafan akademik program berkaitan namun pengiktirafan profesional untuk tujuan pendaftaran sebagai ahli farmasi memerlukan pertimbangan dan persetujuan Lembaga Farmasi Malaysia.
“Justeru, KPT dan KKM perlu menyelesaikan isu ini secara tuntas selaras dengan gagasan MADANI yang menuntut keadilan, ihsan dan kebijaksanaan dalam setiap keputusan yang menyentuh masa depan rakyat, tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan bagi bidang farmasi,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, dilaporkan sekurang-kurangnya empat pelajar Malaysia di Mesir berdepan isu pengiktirafan untuk meneruskan kerjaya sebagai ahli farmasi di negara ini.