Perpaduan negara perlu terus dipupuk, pesan PM
14 JUN : Perpaduan di negara ini tidak boleh dianggap akan terus kekal sebaliknya ia perlu sentiasa dipupuk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang tindakan yang boleh memecah-belahkan masyarakat perlu ditolak kerana perpaduan merupakan asas penting kepada kestabilan dan kemajuan negara.
Menurut Anwar, sejarah membuktikan Malaysia mampu kekal bersatu dalam kepelbagaian hasil kepimpinan berwawasan yang menjadikan perbezaan sebagai satu kekuatan.
“Perpaduan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang akan kekal dengan sendirinya dan ia mesti terus dipupuk dengan kebijaksanaan, kesabaran dan ikhtiar yang berterusan, sambil menolak segala bentuk tindakan yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
“Sejarah mengajar kita bahawa Malaysia mampu kekal bersatu dalam kepelbagaian kerana wujudnya kepimpinan berwawasan yang meraikan perbezaan sebagai kekuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah.
Anwar berkata, tokoh-tokoh terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Temenggong Jugah, Tun Mustapha Harun serta Tun Fuad Stephens sudah meletakkan asas perpaduan yang kukuh membuktikan bahawa kemajmukan bukan halangan, sebaliknya sumber kekuatan dalam membina sebuah negara yang aman, stabil dan maju.
Pada masa sama, beliau menegaskan perpaduan hanya dapat dipertahankan sekiranya rakyat terus mengamalkan kematangan, kewarasan dan kebijaksanaan dalam berpolitik serta mengurus perbezaan yang wujud dalam masyarakat.
“Semangat negara bangsa yang telah dibina dengan susah payah ini mesti terus diperkukuh berlandaskan rasa hormat, saling percaya dan kesediaan untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi segala perbezaan dan kepentingan sempit,” katanya.