30 OKT : Penyatuan dua parti Melayu, UMNO dan PAS yang sekian lama dinantikan kini menjadi kenyataan menerusi kerjasama di bawah naungan penyatuan ummah di Melaka.
Kerjasama itu kini dimetrai dan bakal diterjemah dalam peti undi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kali ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, penyatuan kedua-dua parti itu bukan sekadar untuk menghadapi PRN Melaka, malah membawa hasrat lebih besar menuju ke Putrajaya.
“Dulu saya pernah berkata dalam sidang media sewaktu rakan yang bersama-sama menjadi kerajaan negeri meninggalkan kita, Alhamdulillah. Kalau tak tinggalkan kita, kita (PAS-UMNO) tak sampai sini. Itulah hikmah yang Allah berikan.
“Satu lorong yang kita tidak pernah nampak, yang tersirat oleh Allah SWT supaya hari ini, kita buktikan bahawa yang kita tunggu telah pun tiba…penyatuan dua parti bangsa Melayu untuk membuktikan kekuatan kita, membina langkah kita, membina hala tuju kita supaya terlindung di bawah naungan penyatuan ummah ini, Putrajaya insya-Allah kita naungi demi untuk Malaysia yang tercinta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang bersama jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) termasuk PAS di Kampung Pulau, Masjid Tanah, hari ini.
Menurut Ab Rauf, Majlis Hi-Tea Jalinan Muhibbah itu turut dilaksanakan secara serentak di seluruh DUN melibatkan jentera BN dan PN-PAS, jam 5 petang tadi.
Dalam ucapan sama, Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka menegaskan penyatuan berkenaan tidak bermakna hak kaum lain akan diketepikan, sebaliknya kepentingan semua masyarakat akan terus dipelihara.
“Kita tidak mengenepikan hak-hak kaum lain walaupun kita akan menunjukkan satu ketumbukan yang cukup besar, tapi rakan kita akan tetap terpelihara.
“Kita tidak hanya menguruskan bangsa Melayu, kita akan menguruskan bangsa Cina, kaum India dan lain-lain kaum agar hidup lebih aman dan damai,” katanya.
Terdahulu, BN dan parti gabungan PAS, Perikatan Nasional memetrai persefahaman bagi menghadapi PRN Melaka yang menyaksikan agihan kerusi di kesemua Dewan Undangan Negeri tanpa berlaku pertindihan.
