Malaysia-Uzbekistan bincang kerjasama pelihara khazanah tamadun Islam
17 JUN : Malaysia dan Uzbekistan membincangkan kepentingan mempererat kerjasama dalam memelihara serta mengangkat khazanah tamadun Islam dan tradisi keilmuan yang menjadi asas kepada kegemilangan peradaban manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang disentuh dalam pertemuan singkat bersama Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev semalam ketika pesawat yang dinaikinya membuat hentian di Tashkent sebelum meneruskan perjalanan ke Kazan, Rusia.
Menurutnya, kedua-dua negara turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
Sempat mengadakan pertemuan singkat namun bermakna dengan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, ketika pesawat membuat hentian di Tashkent.
Pertemuan ini memberi ruang untuk kami bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala yang terus berkembang dalam pelbagai bidang strategik, termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, industri halal dan pelancongan.
Kami juga menyentuh kepentingan mempererat kerjasama dalam memelihara dan mengangkat khazanah tamadun Islam serta tradisi keilmuan yang telah melahirkan tokoh-tokoh besar dan menyumbang kepada kegemilangan peradaban manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, awal pagi tadi.
Anwar berkata, Malaysia dan Uzbekistan turut melihat ruang yang luas untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga.
“Dalam sektor tenaga, kami melihat ruang yang luas untuk memperkukuh kerjasama, khususnya dalam industri gas dan petroleum, yang bukan sahaja berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi, malah menyumbang kepada agenda keselamatan tenaga dan pembangunan mampan,” katanya.
Beliau turut menghargai komitmen Uzbekistan dalam memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN serta peranannya yang semakin penting di rantau Asia Tengah.
Beliau turut berharap hubungan persahabatan antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh bukan sekadar demi manfaat ekonomi dan perdagangan, malah bagi mengangkat martabat insan, memperkasa ilmu serta menjayakan pembangunan yang lebih adil juga inklusif.
“Sebelum meneruskan penerbangan ke Kazan, saya ambil peluang ucap selamat maju jaya kepada Pasukan Kebangsaan Uzbekistan yang bakal membuka tirai aksi mereka di pentas Piala Dunia 2026 menentang Colombia,” katanya.
