17 JUN : Semangat hijrah perlu dizahirkan dalam realiti semasa melalui kesepakatan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia tidak mudah namun kejayaan tidak dapat dicapai hanya sekadar dengan retorik slogan semata-mata.
Anwar berkata teladan daripada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah memperlihatkan bagaimana kejayaan itu dicapai hasil ikhtiar berpasukan berasaskan kesatuan iman serta mendapat lindungan Allah SWT.
“Teladan daripada peristiwa Hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW menyaksikan peranan instrumental anak muda seperti Saidina Ali Abi Talib, sumbangan wanita seperti Asma Abu Bakar dan ramai sahabat mengatur dan menjadi sebahagian daripada sejarah Hijrah Nabi ke Madinah sebagai suatu yang unik dan istimewa.
“Kejayaan Hijrah Rasulullah SAW adalah ikhtiar berpasukan atas kesatuan iman yang berada dalam lindungan Allah SWT.
“Menzahirkan semangat Hijrah dalam realiti semasa tidak mudah. Ianya perlukan kesepakatan dan kerjasama rangkaian komuniti dengan kepelbagaiannya. Kejayaan tidak akan hadir hanya dengan retorik slogan dan semangat bersendirian, tapi harus dilakukan bersama dengan penuh kesabaran menuju kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan malam tadi sempena sambutan Maal Hijrah 1448H melalui Facebook rasminya.
Dalam pada itu, Anwar berkata hasrat melakukan pembaharuan berteraskan semangat hijrah bagi menegakkan keadilan, dan memakmurkan rakyat perlu menjadi tanggungjawab bersama.
“Oleh itu, kemahuan dan harapan melakukan pembaharuan atas esensi Hijrah untuk menegakkan keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjaminnya keselamatan harus menjadi ikhtiar bersama dan bukan milik sesiapa.
“Kita selami semangat hijrah dan segala pengajaran mulia yang terpahat, namun dalam mencapai cita-cita perubahan dan pembaharuan ini, kerjasama dan perpaduan amat bernilai dalam menggapai kejayaan,” katanya.