19 JUN : Mahkamah tiada kuasa untuk menghalang keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi perintah lepas dan bebas (DAA) dalam kes rasuah yang tidak melalui perbicaraan penuh.
Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata perkara itu terletak dalam prerogatif SPRM yang dibenarkan mengikut undang-undang.
Namun Wan Ahmad berkata beliau tidak pasti sama ada keputusan itu akan menjadi preseden yang mencetus kontroversi atau tidak.
“Ia menjadi prerogatif SPRM dan tertakluk kepada proses mahkamah apabila kes dibawa ke mahkamah.
“Mahkamah akan membuat keputusan sewajarnya jika kes terbabit dibicarakan, namun keadaan sebaliknya jika ia tidak melalui proses berkenaan.
“Saya tidak pasti sama ada ini akan menjadi duluan yang bakal mencetuskan persepsi atau tidak, tetapi undang-undang membenarkan SPRM berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Siri Syarahan Tun Zaki Azmi di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), hari ini.
Selain itu, Wan Ahmad Farid berkata badan Kehakiman juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengulas prerogatif SPRM.
Pada 3 Jun lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas ketua unit komunikasi korporat sebuah kementerian, Nur Fazreen Mohamad Kamal, 45 daripada pertuduhan memperoleh suapan RM5,268 selepas membayar kompaun ditawarkan SPRM.
Kemudian, Pemerhati Rasuah (MCW) dilapor menyuarakan kebimbangan berhubung cara SPRM itu boleh mencetuskan persepsi kesalahan berkaitan integriti dan salah guna kuasa boleh diselesaikan tanpa melalui pengadilan di mahkamah.