19 JUN : PKR menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan peguam yang dilantik untuk menentukan tindakan lanjut terhadap bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad yang sudah meninggalkan parti.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, hari ini.
“Mereka sudah letak jawatan sudahlah, sudah keluar parti. Jadi, saya serahkan kepada pasukan peguam,” katanya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Pasar Raya Econsave, Taman Daya, hari ini.
Pada 17 Mei lalu, , Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar PKR dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa.
Kedua-duanya turut mengumumkan pengambil alih parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam, Bersama.
Susulan itu, Fuziah menegaskan kedua-duanya masih terikat pada bon PKR bernilai RM10 juta meski mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen sebelum keluar parti.
Fuziah berkata berdasar kepada maklumat di laman sesawang, kedua-duanya boleh dianggap lompat parti sebelum pengosongan kerusi dibuat.
“Saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk parti bersama dalam website bersama, ‘timestamp’ 17 hari bulan.
“Kalau ikut dasar Perlembagaan parti, maka mereka sudah pun lompat parti pada 17 hari bulan, sebelum mereka mengosongkan kerusi mereka pada hari ini,” katanya, seperti dilaporkan sebelum ini.
Justeru itu, pasukan peguam PKR katanya akan meneliti perkara itu sebelum mengambil tindakan undang-undang.