Konflik Asia Barat, El Niño antara fokus mesyuarat Persekutuan-negeri
23 JUN : Kesan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik di Asia Barat serta ancaman fenomena El Niño antara tumpuan utama Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-149, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi El Niño juga diteliti.
“Mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-149 di Bangunan Parlimen, hari ini.
“Mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif Kerajaan ke arah memperkukuh dan memulihkan ekonomi negara susulan cabaran dan ketidaktentuan yang berpunca daripada konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi global.
“Mesyuarat turut meneliti tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena El Niño yang dijangka memberi kesan terhadap bekalan air, sektor pertanian, keselamatan makanan serta risiko cuaca panas melampau dan jerebu,” katanya.
Menurut beliau, penekanan turut diberikan kepada usaha memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan secara lebih bersepadu, cekap dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“…di samping memperkukuh daya saing ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negara,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semangat kebersamaan dan kesepakatan yang dizahirkan pada mesyuarat itu akan terus memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Insya-Allah…bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA