PM nafi Persekutuan keluar arahan sekat Onn Hafiz masuk FELDA
26 JUN : Kerajaan Persekutuan tidak pernah menghalang atau mengeluarkan arahan bagi menyekat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada memasuki kawasan FELDA.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini sekali gus menolak dakwaan tersebut.
Menurut Anwar, Kerajaan Persekutuan dan negeri menumpu kepada pelaksanaan projek masing-masing.
“Arahan (sekatan) tak ada. Kerajaan Persekutuan layan projek Persekutuan.
“Negeri, dia buat kerja negerilah, apa nak riuh-riuh ini buat apa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil, hari ini.
Menteri Kewangan itu mengulas dakwaan Onn Hafiz beliau dihalang daripada memasuki kawasan FELDA hujung minggu lalu hingga menyebabkan majlis yang dirancang terpaksa ditunda.
Onn Hafiz dijadual menyerahkan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026.
Majlis yang sepatutnya dijadual berlangsung di FELDA Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa ditukar ke Dewan Dato’ Onn, Taman Sri Lambak, Kluang pada Selasa lalu.
Beliau mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ menghalang penganjuran program tersebut namun ia tidak melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek seperti didakwa.
Menurutnya, keputusan di peringkat tertinggi menyebabkan program penyerahan hak milik peneroka itu ditangguh kepada semalam.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA