10 NOV : Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon perintah pelepasan baharu bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaras dengan pengampunan bersyarat diberikan kepadanya.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
“Permohonan itu bertujuan mendapatkan satu perintah pelepasan baharu, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu,” katanya.
Hari ini, AGC memfailkan permohonan itu antara lain meminta mahkamah meneliti semula perintah tersebut.
Pada 6 November lalu, Najib melunaskan denda RM50 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah sesuai pengampunan bersyarat diterima pada 18 September lalu.
Namun, AGC menangguhkan sementara pelaksanaan tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Sultan Ibrahim itu.
Sebelum ini, Mohd Dusuki mempersoalkan ketelitian penyediaan dokumen rasmi mahkamah berkaitan pelaksanaan perintah tahanan rumah itu yang didakwa mempunyai kecacatan ketara.
Beliau berkata, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak yang menyediakan dokumen Order of Discharge itu meneliti setiap butiran dengan cermat, terutama membabitkan penggunaan istilah dan peruntukan undang-undang.
“Perkara ini tak patut berlaku jika pihak berkenaan teliti. Kesilapan ini adalah ketara dan menyebabkan timbul masalah yang tak sepatutnya,” katanya.