2 JUL : Pengundi Johor yang tinggal dan bekerja di luar negeri itu diseru agar pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 11 Julai ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata PRN itu penting bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
“Pilihan raya ini sangat penting kerana kita mahu kerajaan negeri yang baik, yang boleh bekerja sama dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Dalam tempoh tiga tahun ini, Perdana Menteri buat macam-macam untuk Johor. Kerajaan Persekutuan bagi kepada Johor lebih tinggi daripada yang diterima oleh Selangor dan negeri-negeri lain.
“Lebih daripada itu, kejayaan Johor adalah kerana Kerajaan Persekutuan yang stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam amal di Muar, malam ini, lapor Bernama.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berharap calon-calon gabungan yang bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Kita mahu calon-calon PH diberi peluang untuk berkhidmat dengan baik. Kawan-kawan yang lama tak dapat berkhidmat dengan baik sebab ada tebuk atap.
“Tapi ke depan kita mahu stabil, kita mahu orang yang boleh bekerja dengan Perdana Menteri, kita mahu pelaburan masuk,” katanya.
Pada masa sama, Fahmi menjamin PH akan menjalankan kempen di Johor dengan bersih meski berdepan pelbagai provokasi daripada pihak lawan.
“Ada orang guna macam-macam muslihat, menipu, menakut-nakutkan kita…tapi jangan takut, kita mesti berani.
“Kita mesti mahukan masa depan yang lebih baik bersama PH,” katanya.