17 NOV : Tayar belakang kiri dipercayai pecah secara tiba-tiba sebelum menyebabkan van polis dinaiki 11 anggota hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi.
Insiden itu mengorbankan seorang anggota polis, Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26 yang disahkan maut di tempat kejadian manakala 10 lagi cedera selepas beberapa penumpang tercampak keluar daripada kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu berlaku ketika van jenis Maxus berkenaan membawa 11 anggota polis termasuk pemandu.
Menurutnya, kesemua anggota terbabit dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke Melaka bagi mengambil semula kenderaan polis yang dipinjamkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Daripada jumlah itu, empat anggota mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Slim River, manakala enam lagi mengalami kecederaan ringan serta dihantar ke Hospital Tapah.
“Setakat ini, kebanyakan kecederaan dialami membabitkan bahagian kepala selain ada yang mengalami patah tangan dan sebagainya. Seorang anggota meninggal dunia dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Tapah.
Jenazah Muhammad Shahrul Alif dibawa dari Hospital Tapah ke Surau Ehsaniah, Kompleks Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah kira-kira jam 5.53 petang untuk solat jenazah sebelum dibawa pulang ke Tumpat, Kelantan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Tapah di talian 05-401 1222 bagi membantu siasatan.
