Hanya Agong boleh batal lantikan Azam Baki dalam NFCC
3 JUL: Hanya Yang di-Pertuan Agong boleh membatalkan pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jawatan dalam NFCC itu sah sehingga 2027 tidak terikat dengan jawatan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong itu terpakai sehingga 2027. Untuk membatalkannya, hanya Yang di-Pertuan Agong yang boleh berbuat demikian.
“Pelantikan itu tidak berkait dengan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Setakat yang saya ingat, tempoh pelantikan itu berakhir pada 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian di Masjid As-Sodiqin, hari ini.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertikaikan pelantikan Azam sebagai Ahli Lembaga Penasihat NFCC itu.
Hari ini, NFCC mengesahkan pelantikan itu dan memaklumkan keanggotaan Azam bagi tempoh tiga tahun bermula 20 September 2024 hingga 19 September 2027.