Sistem imigresen digital baharu dilancar Januari depan
4 JUL : Malaysia dan Singapura dijangka melancarkan sistem imigresen digital baharu dan laluan tambahan di pintu sempadan bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mensasarkan sistem itu siap dilancarkan Januari, tahun depan.
Beliau menjelaskan, perkara itu bukan pengumuman atau janji baharu sempena tempoh kempen pilihan raya, sebaliknya merupakan projek yang sedang dilaksanakan.
“Insya-Allah saya bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan melancarkan bila telah lengkap dan siap, mungkin kita sasarkan Januari.
“Itu akan menyelesaikan banyak masalah termasuk kecanggihan sistem digital baharu untuk imigresen yang akan memudahkan urusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab tentang kesesakan di Tambak Johor pada program Temu Anwar: Johor Ke Depan.
Selain itu, Anwar berkata usaha mempercepatkan proses pemeriksaan di pintu masuk negara turut dipergiat.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan itu berkata kecekapan sistem imigresen akan terus dipertingkat bagi memastikan aliran trafik di pintu sempadan semakin baik.
Mengulas soal kebergantungan rakyat Malaysia bekerja di Singapura, Anwar berkata kerajaan berusaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di Johor dalam industri berteknologi tinggi.
“Kita mahu selesaikan masalah ini kerana anak-anak kita yang bekerja di Johor terpaksa beratur berjam-jam. Mereka mencari rezeki, jadi kita perlu cari jalan penyelesaian.
“Kita perlu bangunkan sektor seperti kecerdasan buatan (AI), pusat data dan teknologi baharu supaya anak-anak kita boleh bekerja di sini dengan pendapatan yang baik tanpa perlu berulang-alik ke Singapura,” katanya.