5 JUL: Kementerian Komunikasi sedang menilai tahap pematuhan platform media sosial berlesen terhadap dua kod di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata dua kod berkenaan ialah Kod Pengurangan Risiko (RMC) dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh keselamatan dalam talian, termasuk melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya.
Menurut beliau, kod berkenaan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia platform media sosial berlesen yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia untuk mematuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan.
“Di bawah kod ini, memang tanggungjawab diletakkan kepada penyedia platform berlesen. MCMC bersama penyedia platform ini akan mengadakan perbincangan bagi melihat tahap pematuhan mereka.
“Sekarang kita masih dalam peringkat penilaian untuk melihat tahap pematuhan mereka dan kita berharap dapat melihat pematuhan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Muzikal ‘Kalapadam’ MINNALfm dan Karnival Kempen Internet Selamat.
Dalam perkembangan lain, Nie Ching berkata penganjuran semula Program Muzikal ‘Kalapadam’ bertujuan memperluaskan peluang kepada artis tempatan, khususnya penggiat seni berbahasa Tamil, untuk membuat persembahan di pentas RTM.
Beliau berkata program yang pernah mendapat sambutan masyarakat India itu dihidupkan semula selepas menerima permintaan daripada persatuan artis Tamil.
Sebagai permulaan, tiga projek perintis akan dilaksanakan dengan Kulai dipilih sebagai lokasi pertama, manakala dua lagi lokasi sedang dikenal pasti.
Menurutnya, sekiranya sambutan menggalakkan, program itu berpotensi diperluaskan ke lebih banyak lokasi pada tahun hadapan.
Pada majlis sama, Nie Ching memaklumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut menyalurkan bantuan kepada lima artis kelahiran Johor menerusi Program Ziarah Seni MADANI@FINAS.
Katanya, sejak diperkenalkan pada 2023, program itu telah memberi manfaat kepada 183 penerima dengan jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM144,900.