8 JUL : Harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 Julai hingga 15 Julai 2026 dikekalkan di mana harga pasaran petroleum antarabangsa mula menyederhana.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata harga RON97 RM4 seliter, RON95 RM3.37 seliter dan diesel RM3.97 seliter.
“Harga minyak mentah di pasaran global terus menyederhana pada minggu terdahulu.
“Perkembangan ini didorong oleh pengurangan premium risiko geopolitik, pemulihan aliran bekalan dan peningkatan persaingan harga dalam kalangan pengeluar utama,” menurut MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
Namun begitu, MoF memaklumkan perkembangan terkini di Asia Barat termasuk serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran semalam menunjukkan risiko gangguan terhadap harga dan bekalan masih kekal selagi penyelesaian konflik tidak dimuktamadkan.
“Dalam jangka sederhana, jangkaan lebihan bekalan global susulan pemulihan pengeluaran dan penyederhanaan permintaan dijangka mengehadkan kenaikan harga.
“Namun, sebarang gangguan baharu di laluan perdagangan utama boleh menyebabkan turun naik harga yang ketara,” menurut MoF lagi.
Meski bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” menurut kementerian itu.
Kata MoF, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.