14 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City susulan kebimbangan berhubung dakwaan penglibatan individu yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.
KDN dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius sebarang perkara yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta penyalahgunaan kemudahan imigresen Malaysia.
Menurut kementerian itu, siasatan sedang dijalankan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.
“JIM, PDRM dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh termasuk terhadap identiti dan kewarganegaraan individu yang terbabit, status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan.
“(Turut disemak) Jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan serta tujuan kemasukan ke Malaysia selain pematuhan terhadap syarat di bawah undang-undang imigresen dan undang-undang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, KDN turut memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau apa-apa kesalahan lain yang menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” menurut kementerian itu lagi.
Selain itu, KDN turut menegaskan Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang sehingga boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, telus serta berlandaskan undang-undang,” kata KDN.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap operasi tersebut susulan kebimbangan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Isu Network School di Forest City itu tersebar di media sosial selepas ada pihak mendakwa ia berkait dengan penglibatan pihak yang pro-Israel.