15 JUL : Harga runcit RON95 dan diesel tanpa subsidi meningkat masing-masing 5 sen serta 10 sen bagi setiap liter untuk tempoh 16 Julai hingga 22 Julai ini.
Sementara harga runcit RON97 dikekalkan pada kadar RM4 seliter.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), harga RON95 kini RM3.42 seliter dan diesel RM4.07 seliter.
“Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON95 tanpa subsidi meningkat 5 sen seliter, manakala harga diesel tanpa subsidi meningkat 10 sen seliter bagi tempoh 16 Julai hingga 22 Julai 2026. Harga runcit RON97 pula dikekalkan.
“Harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu,” menurut MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MoF, serangan baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran serta kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz telah meningkatkan semula premium risiko minyak mentah dan kos penghantaran.
“Harga minyak mentah Brent telah mencecah AS$85 setong, meningkat sekitar 20 peratus (%) dalam tempoh dua minggu.
“Selagi konflik ini belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu oleh ketidaktentuan pasaran global,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, meski bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
MoF berkata perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
Namun begitu, kerajaan masih menyediakan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) untuk rakyat Malaysia yang layak.
“Rakyat yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” kata kementerian itu.