PM arah langkah mitigasi segera, kurangkan impak Super El Niño
15 JUL: Kerajaan mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyediakan langkah mitigasi segera bagi menghadapi jangkaan fenomena yang diramal melanda Malaysia bermula November ini bagi mengurangkan impaknya terhadap pengeluaran makanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah tersebut penting bagi menjamin keterjaminan makanan negara di samping melindungi kebajikan petani, pesawah, penternak dan nelayan daripada kesan fenomena cuaca berkenaan.
“Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini, yang meneliti agenda memperkukuh daya saing sektor agromakanan negara bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan kesejahteraan petani, pesawah, penternak dan nelayan.
“Mesyuarat membincangkan jangkaan fenomena Super El Niño yang diramal melanda Malaysia bermula November 2026. KPKM diminta segera menyediakan langkah mitigasi bagi mengurangkan impaknya terhadap pengeluaran makanan serta memastikan komuniti petani terus dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, hari ini.
Mesyuarat itu turut meneliti usaha memperkukuh daya saing sektor agromakanan negara selain membincangkan kerjasama sektor perikanan antara Malaysia dan Thailand.
Sehubungan itu, berkait kerjasama dengan Thailand, Anwar mengarahkan KPKM memuktamadkan segera melalui saluran yang sewajarnya tanpa berkompromi terhadap piawaian keselamatan serta kualiti makanan.
“Mesyuarat juga meneliti isu kerjasama sektor perikanan dengan Kerajaan Thailand. Saya mengarahkan KPKM untuk memuktamadkan perkara ini dengan segera melalui saluran yang sewajarnya, tanpa berkompromi terhadap piawaian keselamatan dan kualiti makanan.
“Libat urus berterusan juga mesti dilaksanakan bersama komuniti nelayan agar produk mereka dapat memenuhi piawaian ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terus memperkukuh sektor agromakanan melalui penggunaan teknologi, inovasi serta amalan terbaik agar pengeluar tempatan terus berdaya saing, sekali gus memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin demi kesejahteraan rakyat.
