16 JUL : Kerajaan masih mempertimbangan 3,640 permohonan kewarganegaraan di Sabah bagi tempoh 2025 hingga 31 Mei lalu, Dewan Rakyat diberitahu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan 10 permohonan diluluskan dan sijil kewarganegaraan sudah diserahkan kepada pemohon.
Bagi bagi permohonan pendaftaran lewat kelahiran di negeri itu pula sebanyak 2,659 permohonan sudah diluluskan dan 611 lagi masih dalam proses.
Beliau berkata, pihaknya komited untuk mempercepatkan proses membuat keputusan bagi permohonan kewarganegaraan, khususnya yang membabitkan pendaftaran lewat kelahiran.
“Kementerian sudah menambah baik prosedur operasi standard bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perkara 15 (2) dan Perkara 19 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan menetapkan tempoh pemprosesan selama setahun bermula daripada tarikh penerimaan dokumen lengkap sehingga keputusan dimuktamadkan.
“Selain itu, bagi pendaftaran lewat kelahiran, permohonan kini boleh diterima di semua pejabat JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) di seluruh negara dan juga melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) berkait langkah mempercepat serta menambah baik proses permohonan kewarganegaraan, selain jumlah permohonan tertunggak serta yang sudah diluluskan di Sabah bagi tempoh 2025 hingga 2026.
Selain itu, Shamsul Anuar berkata mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan peringkat Sabah bakal diadakan hujung bulan ini atau awal bulan depan bagi mempertimbangkan 1,018 permohonan.
Beliau berkata, kuasa membuat keputusan bagi permohonan pendaftaran lewat kelahiran turut diturunkan kepada JPN negeri bagi mempercepatkan pertimbangan dan penyelesaian kes, selain memperluaskan pelaksanaan Program MEKAR terutama di kawasan luar bandar serta pedalaman.
Katanya, KDN turut memperkukuh kerjasama strategik antara JPN dengan kerajaan negeri, pemimpin komuniti, hospital, sekolah, agensi kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenal pasti individu yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri, selain membantu mereka melengkapkan dokumen sokongan.
Shamsul Anuar menjelaskan statistik permohonan yang direkodkan sebagai lulus oleh JPN itu hanya merujuk kepada kes sijil kewarganegaraan dikeluarkan dan diserahkan kepada pemohon.
“Permohonan yang sudah diluluskan pada peringkat KDN tetapi sijil belum dicetak dan diserahkan masih direkodkan sebagai ‘dalam proses’ dalam sistem JPN,” katanya.