16 JUL : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempelawa semua pemegang lesen yang layak mengemukakan Pelan Perkhidmatan Sejagat (USP) draf bagi menyertai pelaksanaan inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM), projek strategik yang dijangka memperkukuh infrastruktur digital negara.
MCMC dalam kenyataan pada Khamis berkata, inisiatif di bawah rangka kerja USP itu akan membangunkan sistem kabel dasar laut baharu yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan rangkaian sambungan domestik yang lebih kukuh, pelbagai dan berdaya tahan.
Menurut kenyataan itu, sistem SALAM akan merangkumi 10 Stesen Pendaratan Kabel (CLS) yang dihubungkan menerusi empat segmen kabel dasar laut dengan anggaran panjang keseluruhan kira-kira 5,582 kilometer.
Suruhanjaya itu berkata laluan sambungan yang lebih pelbagai dari segi geografi itu mampu meningkatkan kebergantungan rangkaian, mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan serta memperkukuh daya tahan komunikasi negara.
MCMC berkata sistem kabel dasar laut merupakan tulang belakang komunikasi digital moden yang membawa sebahagian besar trafik data domestik dan antarabangsa.
“Seiring pertumbuhan permintaan terhadap sambungan digital berkelajuan tinggi, pengukuhan infrastruktur kritikal ini amat penting bagi memastikan komunikasi yang selamat, boleh dipercayai dan tidak terganggu untuk sektor perniagaan, kerajaan serta orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Selain meningkatkan hubungan antara wilayah, MCMC berkata SALAM akan menyediakan rangkaian sambungan domestik yang lebih kukuh dan berskala bagi menyokong peluasan berterusan perkhidmatan jalur lebar serta rangkaian 5G.
“Pada masa sama, inisiatif ini akan memacu pertumbuhan infrastruktur pengkomputeran awan, pusat data, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan industri digital baharu yang lain.
“Usaha ini seterusnya akan memperkukuh ekonomi digital Malaysia, memperluas agenda keterangkuman digital serta meningkatkan daya tahan negara untuk jangka panjang,” katanya.
Menurut MCMC, selaras Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Perkhidmatan Sejagat) 2002, semua pemegang lesen yang layak dipelawa mengemukakan Pendaftaran Minat (Registration of Interest) bersama Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat untuk dinilai.