17 JUL : Malaysian Press Institute (MPI) komited memperkukuh pembangunan profesional pengamal media bagi memastikan industri kewartawanan negara terus relevan dan berdaya saing dalam era kecerdasan buatan (AI).
Presidennya, Datuk Yong Soo Heong berkata transformasi itu perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan etika, integriti serta nilai kemanusiaan yang menjadi asas kewartawanan.
Menurutnya, walaupun dunia media kini berubah pantas akibat ledakan teknologi digital, AI dan lambakan maklumat tanpa sempadan namun kewartawanan tetap memainkan peranan penting sebagai benteng mempertahankan kebenaran dan kepercayaan masyarakat.
“Sambutan luar biasa terhadap Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025 yang mencatat penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan membuktikan komitmen pengamal media tempatan untuk terus menghasilkan karya kewartawanan berkualiti.

“Pencapaian ini menunjukkan wartawan Malaysia terus melihat profesion ini sebagai satu amanah kepada masyarakat.
“Kewartawanan bukan sekadar menyampaikan berita, sebaliknya menjelaskan isu yang kompleks, mengesahkan fakta, membina kefahaman rakyat dan menjadi pemangkin kepada perubahan yang memberi manfaat kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan disampaikan menerusi konsep penceritaan yang menggabungkan teknologi AI dengan naratif berdasarkan mesej dan pandangan beliau sendiri pada Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Institut Akhbar Malaysia (MPI) – Petronas 2026 di Hotel Majestic Kuala Lumpur, malam ini.
Majlis tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Mengulas perkembangan AI dalam industri media, Soo Heong berkata teknologi itu mampu meningkatkan kecekapan dan produktiviti bilik berita.
Bagaimanapun, katanya ia tidak boleh menggantikan pertimbangan editorial, pengalaman di lapangan serta nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada kewartawanan.
Justeru itu, katanya, MPI akan terus memperluaskan latihan dalam bidang pelaporan, penyuntingan, kewartawanan digital, analitik data, keselamatan siber serta penggunaan AI secara beretika bagi memastikan wartawan bersedia menghadapi perubahan landskap media.
“Sebagai sebahagian daripada usaha itu, MPI bakal memperkenalkan Diploma Profesional Kewartawanan Kecerdasan Buatan (AI) dan Diploma Profesional Kewartawanan Keselamatan Siber menerusi kerjasama dengan Malaysian Productivity Corporation (MPC), UTMSpace dan London Examination Board (LEB).
“Program berkenaan akan melahirkan pengamal media yang bukan sahaja menguasai teknologi baharu, malah memiliki kemahiran masa hadapan tanpa mengorbankan etika dan tanggungjawab
profesional.
“Agensi media boleh mula mencalonkan wartawan untuk mengikuti program diploma ini melalui laman web rasmi MPI mulai hujung Julai ini,” katanya.
Malam Wartawan Malaysia 2026 yang berlangsung pada Jumaat diadakan bagi meraikan sumbangan dan kecemerlangan pengamal media negara dalam memperkasakan profesion kewartawanan.
Senarai Pemenang Anugerah Emas HKM MPI-PETRONAS 2025 :
- Penulisan Rencana Terbaik – Lim Kah Siang dan Chang David (Sin Chew Daily)
- Penulisan Kolum Terbaik – Azura Abas (The Sun)
- Hadiah Kajai – Nurul Hidayah Hamid (Sinar Harian)
- Reka Letak Halaman Terbaik – Khairul Faizi Khalid Ayeop (Berita Harian)
- Kewartawanan Foto Terbaik – Muhammad Fariz Rusadio (Utusan Malaysia)
- Esei Foto Terbaik – Lek Kah Meng (Sin Chew Daily)
- Laporan Radio Terbaik – Nurliyana Farhah Ruslan (Bernama Radio)
- Dokumentari Radio Terbaik – Noorshafik Othman (KLFM)
OLEH : AISYAH BADRUL
*Foto utama: Facebook MPI